Jangan sampai kena boikot. Jom berkorban!
*Penting untuk membaca page Peringatan bagi pos berkategori Islam.

InsyaALLAH tak sampai sebulan lagi umat Islam akan menyambut satu lagi perayaan yang dinamakan Hari Raya Aidil Adha.
Malangnya, banyak yang menjadikan Hari Raya Aidil Adha tak lebih daripada cuti umum sahaja.
Tahukah anda ulama’ berbeza pendapat sama ada melakukan sembelihan (korban) haiwan ternakan berkaki empat pada 3 hari pertama hari raya ini adalah wajib jika mampu atau sunat yang sangat dituntut?
- Secara peribadi dan setakat ilmu yang aku ada, aku memegang pendapat bahawa wajib jika mampu.
- Ini adalah berdasarkan ayat ke-2 dalam surah al-Kausar: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu“.
- Dalam ayat ini, dua ibadah digabungkan dalam satu ayat yang mana salah satu ibadah tersebut telah jelas kewajipannya iaitu ibadah korban digabungkan dengan ibadah solat yang telah sedia maklum kewajipan solat itu.
- Selain itu, banyak hadith-hadith sahih yang menerangkan tentang pentingnya ibadah korban dan Nabi SAW tidak pernah meninggalkan ibadah ini.
- Antara hadith yang terkesan di hati aku adalah: “Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami“. – Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Sila rujuk kitab Fathul Bari jilid 10 halaman 5, Bulughul Maram 1349 (dinilai sebagai hadith Mauquf) dan Ahkam al-I’dain halaman 26.
- Sering kali kita memboikot barangan keluaran negara tertentu apabila terjadinya penindasan atau penghinaan terhadap agama Islam yang kita anuti.
- Atau ada sesetengah kelompok yang memboikot persidangan tertentu kerana dihalang masuk awal.
- Tetapi, pernahkah kita ambil peduli boikot Nabi SAW terhadap orang yang tidak mahu melakukan ibadah korban?
- Adakah kita termasuk antara orang-orang yang Nabi SAW boikot?
- Tak takutkah kita?
- Pernahkah kita ambil tahu harga semasa lembu atau kambing?
- Akhir-akhir ini lebih ramai yang lebih peka kepada harga sekotak rokok.
- Pernahkah kita mengasingkan sebahagian wang dalam belanjawan keluarga untuk melakukan ibadah korban setahun sekali?
- Pada tahun ini secara purata harga kambing bersaiz sederhana di Lembah Klang adalah RM450.
- Dan harga satu bahagian lembu adalah RM350.
- Kalaulah setiap hari kita simpan RM1.50 sahaja, cukup setahun dah mampu kita beli seekor kambing dan ada lebihan hampir 100 yang boleh digunkan untuk upah sembelih dan menguruskan sembelihan (kalau takut nak sembelih sendiri).
- Kalau dah miskin sangat, simpan RM1 setiap hari dah mampu untuk satu bahagian lembu.
- InsyaALLAH kepada sesiapa yang mampu baca blog ni, RM1 sehari bukanlah perkara yang besar.
- Janganlah pernyataan seperti “Maaf, saya tak makan kambing” dijadikan alasan untuk tidak melakukan ibadah korban.
- Kalau kita tak makan, banyak lagi orang lain yang makan dan yang paling penting banyak orang lain yang sangat-sangat memerlukan sumbangan kita.
- Di sini aku seru, marilah kita sama-sama melakukan ibadah korban – jangan sampai kena boikot.
- Kepada kawan-kawan yang tak makan kambing, yang cari orang yang makan kambing tak jumpa atau yang susah nak dapatkan binatang korban (berada di luar negara, gurun Sahara, kutub utara, belayar, dsb.) bolehlah kirim duit kat aku, insyaALLAH aku boleh cuba dapatkan kambing dan salurkan kepada yang berhak menerima.
waALLAHu’alam.
wassalam.
Post a comment